Seorang
lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa.
Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan
sebelum al-Qur'an.
Di
dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa
putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya
seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di
semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai
Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas
semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam,
ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian
yang amat berat daripada Allah. Dia
dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang
lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran
Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya
diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan
malaikat kepada Mariam atas perintah Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai
manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat membuat Mariam menjadi takut
lalu berkata,
"Aku
berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada
Tuhan)!'
Dia
(malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara
kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada
ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah memberi nama
kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa)
akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan
Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai
Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata
daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan
di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian
Mariam bertanya,
"Bagaimanakah
aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku,
dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat
menjawab,
"Dia
(Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku;
dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan
daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka
lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad
dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia,
iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah
juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan
tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya
dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana
manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan
dan Kenabian
Isa
adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul
telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata
kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti
yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan
rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain.
Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan
darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami
mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun
begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan
Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah,
'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang
diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak,
dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi
daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara
mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat
membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa
dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi
Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh
kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani
Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat
yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan
Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan
mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya
petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku
(Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut
disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai kedatangan seorang
Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi
orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika
baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya
adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia
(Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku
memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan;
maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda
juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya
akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai
Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat
yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan
datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut
setia
Seperti
Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan
juga yang tidak setia atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia
percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan
ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan
rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman
kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut
yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah.
Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;
kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'"
(3:52)
Begitu
juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya
menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya.
Firman Allah:
"Wahai
orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa
putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan
menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia
berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau
bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut
untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk
itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan
apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam,
bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari
langit?'
Dia
(Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka
berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi
tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan
supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru
itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya
Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari
langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir
bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk
kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah
mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi
mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam
al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain
daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah
dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika
Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu,
dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci),
untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa
..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang
seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia
seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta,
dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka
berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun
Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada berkata
bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang
sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila
rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak
seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib
tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun
bukan disalib. Baginda telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di
sebuah tempat lain yang tidak diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan
baginda telah melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti
yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila
Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu
kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya
.....'" (3:55)
"Dan
aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas
mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan
tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah
membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku
hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan
mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi
mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu
kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih
mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada
pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya,
yakinlah." (4:157)
Telah
wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam
al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak
benar. (Sila rujuk artikel Menanya
Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan
Imam Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah
Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku
pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem
berulama dalam agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan
rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan
(menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian,
antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya.
Mereka yang berbuat demikian telah terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi
kafir. Firman-Nya:
"Merekalah
orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia
ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang
Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada
mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka.
Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu
bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka.
Buktinya adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih,
putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu.
Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah
bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah
bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi
Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu
Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan makanan yang
tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di
bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya
hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan
atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan
mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan
akal.
Akhirat
Kepercayaan
serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah
menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada
Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai
Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan
ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi
Isa akan menjawab:
"Kepada
Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak
dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa
yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya
bersambung lagi:
"Aku
hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke
atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Nabi
Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat juga.
Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda
berbunyi:
"Wahai
Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang
tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah
yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa
masih ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar